Tuah Pak Belalang Nujum_Pa'_Blalang

Dengan negara Beringin Rendang beroleh kemenangan, Sultan Masai tidak berpuas hati kerana mengesyaki ahli nujumnya (Udo Omar) berpakat dengan pihak Beringin Rendang untuk menjatuhkan baginda. Baginda lalu mengajukan satu lagi persoalan. Pak Belalang tidak bersetuju tetapi Sultan Shahrul Nizam memujuk untuk menyahut cabaran baginda Masai. Sultan Masai mengeluarkan sesuatu dari uncang ke dalam genggamannya dan menyuruh Pak Belalang meneka apakah itu. Pak Belalang mengetahuui bahawa dia tidak dapat menjawabnya lalu merintih dan merungut sambil memanggil nama "Belalang" dan menyalahkan anaknya yang berdegil untuk berlawan. Sultan Masai yang mendengarnya terduduk. Sultan Shahrul Nizam bertanya sebab dan baginda menjawab bahawa jawapan Pak Belalang itu betul kerana yang digenggamnya adalah seekor belalang. Maka, dengan itu, Beringin Rendang beroleh kemenangan mutlak dan negara Masai jatuh ke tangan Beringin Rendang.

Disebabkan tiada negara, Sultan Masai menetap di atas kapalnya. Suatu hari, Badan dan Nyawa datang mengadap Sultan (kononnya mereka abang ipar Sultan) dan mengutarakan cadangan untuk memperoleh semula negara baginda. Mereka berdua akan menculik Tuan Puteri Si Bujur Sirih dan menyembunyikannya. Kemudian dicadangkan apabila Sultan mengumumkan baginda akan memperkenankan apa sahaja permintaan sesiapa yang memulangkan tuan puteri itu, Sultan Masai akan muncul dan memulangkan puteri lalu miminta untuk dikembalikan negara serta mengahwini puteri itu.

Mereka kemudian bersembunyi di Gua Bukit Tunggal sementara Badan dan Nyawa menculik puteri. Setelah itu, seperti yang dijangka, Sultan Shahrul Nizam mengumumkan yang baginda memperkenankan apa sahaja permintaan sesiapa yang memulangkan tuan puteri itu. Mujur, Perdana Menteri sempat mengingatkan Sultan bahawa mereka sudah mempunyai Ahli Nujum Negara. Lalu, Pak Belalang dipanggil mengadap Sultan dan dipaksa untuk 'meramalkan' sehingga jumpa tempat puteri disembunyikan atau dia akan dihukum pancung. Semangkuk air disediakan dan seperti biasa, Pak Belalang tidak tahu apa hendak buat dan berlakon seolah-olah berjampi. Tiba-tiba, secara ajaib, muncul dari dalam air bayangan puteri yang diikat oleh Sultan Masai, penculik Badan dan Nyawa serta pengikut baginda. Ketika Sultan menanyakan tempat persembunyian itu, Pak Belalang telah hilang.

Mereka semua menuju ke Gua Bukit Tunggal dan menumpaskan kumpulan itu. Penculik Badan dan Nyawa dijatuhkan hukuman pancung manakala Sultan dan pengikutnya dihukum penjara seumur hidup. Pak Belalang yang berpelukan dengan Puteri Si Bujur Sirih dilihat oleh Sultan lalu baginda 'menghukum' mereka untuk berkahwin. Sebelum tamat, muncul Belalang mengatakan dia akan tidur situ kerana dirungutnya bapanya tak mahu memperbesarkan rumah dan dia tiada tempat tidur (mengetahui dia akan mendapat 'ibu baru').